PUTRAJAYA: Kemakmuran ekonomi dan kekayaan negara tidak akan membawa kebahagiaan sekiranya rakyat terus berseteru atas perbezaan kaum, agama dan fahaman politik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya pada Isnin, beliau mengingatkan bahawa asas negara mesti dibina atas perpaduan dan kesyukuran kepada Allah SWT, meskipun berdepan cabaran politik dan perbezaan pendapat.
“Walau apa pun simpang siur, gelagat politik lain yang kadang-kadang mengheret kita dalam kancah, perseteruan antara satu sama lain.
“Tapi umumnya alhamdulillah majoriti rakyat menerima kenyataan bahawa negara harus tegak atas landasan yang betul, memupuk persefahaman dan perpaduan tanpa prasyarat ini tiada jaminan sistem keamanan negara,” katanya.
Anwar menekankan bahawa perpecahan yang tidak dikawal boleh membawa kesan buruk, merujuk kepada sejarah peperangan agama di Eropah dan dunia Islam.
“Di Eropah umpamanya, perang 30 itu katanya, itu peperangan antara Kristian Katolik dan Protestan sehingga meragut puluhan juta nyawa kerana perseteruan yang berpunca dari kefahaman agama walaupun tidak semua yang terlibat dengan agama itu pun.
“Begitu juga dalam peperangan agama Islam… samada Sunni lawan Syiah, soal kabilah soal kaum ini berlaku terus menerus apa lagi yang berlaku di antara Muslim dan Hindu, Muslim dan Kristian, Yahudi dan Muslim,” ujarnya.
Beliau menyeru penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia untuk menghargai kepelbagaian budaya, bahasa dan sejarah serta menjadikan perpaduan sebagai kunci utama keamanan negara.
Anwar menutup ucapannya dengan peringatan tegas bahawa kestabilan negara tidak boleh dipandang remeh, kerana sejarah membuktikan perseteruan yang berlarutan mampu menggugat keselamatan dan kebahagiaan rakyat.








