PUTRAJAYA: Dalam perjuangan membela Palestin, kita harus meneladani keberanian dan keikhlasan Saidina Umar Al-Khattab.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata ianya pesanan daripada Imam dan Khatib Masjidil Aqsa, Sheikh Dr. Ekrima Sa’id Sabri dalam majlis ilmu malam tadi.
“Malam tadi saya berkesempatan meraikan kehadiran tetamu istimewa, dalam satu majlis ilmu yang cukup bermakna serta menunaikan solat berjemaah di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Bandar Indera Mahkota.
“Tausiah beliau yang bertemakan “Solidariti Palestin: Satu Hati, Satu Ummah” mengingatkan kita tentang ketokohan Saidina Umar Al-Khattab yakni seorang pemimpin yang adil dan berwibawa, yang diberi penghormatan membuka Kota Baitulmaqdis.
“Sheikh juga berpesan agar kita terus mengimarahkan masjid, bukan hanya dengan kehadiran kita sendiri tetapi juga dengan membawa anak-anak ke rumah Allah, membiasakan mereka dengan suasana ibadah dan persaudaraan sesama umat Islam,” kongsinya menerusi Facebook pada Rabu.
Farhan menambah bahawa Sheikh turut menyeru agar mempelajari bahasa Arab sekali gus mamu memahami Al-Quran dan Hadis dalam bahasa asalnya.
“… akan lebih mendekatkan kita kepada intipati agama yang sebenar. Ini adalah satu langkah besar dalam menghayati Islam dengan lebih mendalam.
“Semoga kita terus bersatu dalam semangat ukhuwah Islamiah, menyokong perjuangan Palestin dan menghidupkan masjid sebagai pusat penyatuan ummah,” katanya lagi.