Pesanan ‘Ata’ jadi tiang integriti Ayob Khan

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Di sebalik ketegasan seorang Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, tersimpan kisah didikan seorang ayah yang menekankan maruah, disiplin dan keberanian.

Dalam satu hantaran di Facebook, Ayob Khan berkongsi memori bersama Allahyarham bapanya, Mydin Pitchay Abu Bakar atau mesra dipanggil “Ata”, yang meninggal dunia pada 2009 ketika berusia 86 tahun.

Seawal usia 10 tahun, Ayob Khan sudah membantu di kedai kopi milik keluarganya di Tanah Merah, Pendang, Kedah. Dari membersihkan meja, mencuci pinggan hinggalah menebar roti canai, rutin itu menjadi sebahagian besar hidupnya.

Namun, lebih daripada sekadar pengalaman berniaga, arwah bapanya menanam prinsip hidup yang kini menjadi pendirian Ayob Khan iaitu jangan ambil hak orang lain.

“Ketika itu istilah rasuah jarang-jarang kita dengar. Tetapi Ata sudah tanam dalam jiwa saya bahawa mengambil hak orang adalah dosa besar,” tulisnya.

Menurut Ayob Khan, pengalaman melihat bapanya berdepan pelanggan mabuk yang enggan membayar makanan membuktikan nilai keberanian dan maruah yang ditunjukkan seorang ayah.

Nilai itulah, jelasnya, yang membentuk dirinya hari ini untuk menolak rasuah, tidak bersekongkol dengan sindiket, dan tidak membiarkan wang mengaburi amanah.

“Mereka sudah pun kaya raya, mewah dan berharta… tetapi masih memungut rasuah seolah-olah tidak cukup-cukup,” katanya sambil mengingatkan bahawa Islam telah memberi panduan jelas, namun masih ada yang kecundang kerana memilih jalan rasuah berbanding integriti.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat