Pesara Rugi Lebih RM1.17 Juta Akibat ‘Love Scam’

MIRI: Seorang pesara wanita berusia 64 tahun menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ sehingga kerugian lebih RM1.17 juta selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai warga asing.

Ketua Polis Daerah Miri memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada 15 April lalu selepas mangsa tampil membuat aduan.

Menurutnya, kejadian bermula apabila mangsa menerima mesej melalui aplikasi TikTok sebelum suspek mengajaknya berkomunikasi menerusi WhatsApp.

“Siasatan mendapati suspek menggunakan gambar individu lain serta dokumen peribadi yang telah disunting bagi menyamar sebagai warga asing.

“Suspek kemudian memperdaya mangsa dengan mendakwa terlibat dalam projek cari gali dan memerlukan bantuan kewangan kerana akaun banknya disekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya lagi, suspek turut menjanjikan akan memulangkan semula wang berkenaan dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (USD).

“Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek telah membuat sebanyak 59 transaksi kepada sembilan akaun pihak ketiga.

“Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan sebanyak RM1,173,700,” katanya.

Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarga sebelum tampil membuat laporan polis.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati, tidak mudah percaya kepada individu yang dikenali di media sosial serta mengelak daripada membuat sebarang transaksi kewangan kepada pihak yang tidak dikenali.

Anda Mungkin Berminat