Pesara Rugi Lebih RM2.24 Juta Diperdaya Sindiket ‘Phone Scam’

MIRI: Seorang pesara swasta berusia 66 tahun kerugian lebih RM2.24 juta selepas terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon atau phone scam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai wakil Touch ‘n Go sebelum panggilan itu kononnya disambungkan kepada pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

“Mangsa diarahkan mengeluarkan semua simpanan termasuk wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan menyerahkannya melalui pindahan bank, transaksi dalam talian serta serahan tunai kepada individu tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan melebihi RM2.24 juta dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

ACP Mohd Farhan menasihatkan orang ramai supaya tidak panik jika menerima panggilan mencurigakan dan tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi melalui telefon.

Mangsa atau orang awam yang menerima panggilan meragukan boleh menghubungi National Scam Response Center di talian 997 atau membuat semakan nombor telefon dan akaun bank melalui portal Semak Mule di semakmule.rmp.gov.my.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat