PETALING JAYA: Dalam masa beberapa jam sahaja lagi, dua pesawat pengangkut Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia bagi menerima rawatan, akan tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024 di Putrajaya, hari ini.
“Dalam masa beberapa jam, pesawat dari sempadan Mesir-Gaza membawa ibu dan anak-anak yang cedera parah, akan insya-Allah sampai ke KLIA dan diberi rawatan oleh pasukan kita,” katanya.
Khamis lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan dua pesawat pengangkut Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diterbangkan ke Pangkalan Udara Al Maza, Mesir untuk membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia bagi menerima rawatan.
Keputusan itu selaras dengan hasrat Anwar dalam Himpunan Pembebasan Palestin pada 4 Ogos lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil.