KUCHING: Sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis CN235-220M terlibat dalam insiden kemalangan ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pagi tadi, namun kesemua anak kapal dan penumpang dilaporkan selamat.
Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Awam TUDM, kejadian berlaku sekitar pukul 11.15 pagi dan melibatkan pesawat dari No 1 Skuadron Pangkalan Udara Kuching yang baru selesai menjalankan tugasan penerbangan logistik dari Labuan dan Kota Kinabalu.
“Pesawat dari No 1 Skuadron Pangkalan Udara Kuching tersebut telah mengalami masalah ‘nose landing gear’ semasa melakukan pendaratan ketika selesai melaksanakan tugasan penerbangan logistik daripada Labuan dan Kota Kinabalu,” jelas kenyataan itu.
Insiden tersebut tular di media sosial selepas beberapa gambar dan video menunjukkan pesawat berada dalam kedudukan tidak normal di atas landasan.
Malaysia Airports turut mengesahkan bahawa landasan utama ditutup sementara bagi memberi laluan kepada operasi pemindahan pesawat dan kerja-kerja keselamatan.
TUDM memaklumkan bahawa satu lembaga siasatan akan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kesemua anak kapal serta penumpang selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“TUDM akan menubuhkan satu lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” tambah kenyataan itu lagi.