Peserta Global Sumud Flotilla mula dibawa ke pelabuhan Ashdod – Nadir Al-Nuri

MEDITERRANEAN: Aktivis kemanusiaan Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mengesahkan peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel telah mula tiba di pelabuhan Ashdod, Israel pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia itu berkata, barisan peguam GSF kini sedang berhubung dengan mereka bagi memberikan khidmat guaman.

“Insya-Allah, wira dan wirawati Sumud yang ditangkap sudah mula sampai ke pelabuhan penjajah di Ashdod. Para peguam GSF telah mula berhubung dengan mereka untuk diberikan khidmat guaman. Paling awal, esok pagi kami akan kongsikan perkembangan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Nadir bersama tiga lagi sukarelawan Malaysia masih berada di Laut Mediterranean menerusi kapal Jong Melayu yang berperanan sebagai pemerhati.

Sebelum ini, Kementerian Luar mengesahkan 23 rakyat Malaysia yang ditahan ketika menyertai misi GSF berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui sebuah negara ketiga.

Sementara itu, lima peguam Malaysia – Dir Kheizwan Kamaruddin, Fahmi Abd Moin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan – kini berada di Amman, Jordan untuk memastikan delegasi Malaysia mendapat perlindungan telus dan adil. Mereka akan bekerjasama dengan The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (Adalah) serta pasukan guaman antarabangsa.

Misi GSF yang menghimpunkan lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia berlayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel. Ia turut membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan bagi menuntut pembukaan koridor kemanusiaan ke Gaza.

Antara tokoh antarabangsa yang menyertai konvoi itu ialah aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon dan Liam Cunningham, bekas Datuk Bandar Barcelona Ada Colau, empat Ahli Parlimen Itali serta cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat