Bekas jurulatih Tajikistan, Petar Segrt menunjukkan minatnya dalam menggalas tugas selaku Ketua Jurulatih Harimau Malaya selepas bekas pengendali skuad negara, Kim Pan Gon mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 Julai lalu.
Segrt mengakui terkejut mendengar keputusan yang dilakukan Kim Pan Gon itu dalam masa yang sama, tidak menolak sekiranya diberikan peluang mengendalikan pasukan negara atas hubungan baiknya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Saya sangat menghormati dan mengagumi Pan Gon atas segala usaha yang telah dilakukannya kepada Bola Sepak Malaysia lagi-lagi dalam menaikkan kedudukan mereka menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.
“Selain itu, saya juga menyukai penyokong dan masyarakat Malaysia kerana mereka selalu ramah setiap kali saya singgah di Kuala Lumpur dan saya juga mempunyai keinginan mahu mencuba menjadi jurulatih di Malaysia.
“Sejujurnya saya ada menerima tawaran daripada beberapa kelab di Eropah selepas meninggalkan pasukan Tajikistan namun saya terpaksa menolak kerana saya merasakan diri saya lebih sesuai menjadi jurulatih skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa.
“Saya masih bebas dan terbuka kepada mana-mana pasukan kebangsaan. Setakat ini, FAM masih belum menghubungi saya untuk apa-apa tetapi saya tidak akan mengatakan tidak jika mereka menghubungi saya untuk peranan itu.
“FAM mempunyai nombor saya dan saya tidak akan teragak-agak untuk menjawab panggilan mereka,” tambahnya.
Selain Tajikistan dan Afghanistan, Jurulatih Croatia itu turut pernah melatih PSM Makassar, SV Ried, Maldives dan Wiener Sportklub selain membantu pasukan Tajikistan melayakkan diri ke suku akhir Piala Asia 2023 dan bergelar juara Pestabola Merdeka 2023.
Bukan itu sahaja, Segrt juga berjaya membantu mereka meraih kedudukan ke-99, kedudukan terbaik dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Baca juga: