PETRA Kukuh Inisiatif Solusi Banjir Sungai Golok

PETALING JAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menegaskan bahawa usaha penyelesaian banjir Sungai Golok di Kelantan sedang dilaksanakan secara komprehensif dan berfasa melalui Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB).

Pendekatan itu merangkumi langkah sementara serta penyelesaian jangka panjang demi kesejahteraan rakyat.

Menurut kenyataan kementerian, pelaksanaan bersepadu yang dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertujuan menangani risiko banjir ketika musim monsun, selain menyediakan penyelesaian struktur yang lebih mampan bagi menghadapi impak perubahan iklim pada masa hadapan.

PLSB Sungai Golok dilaksanakan dalam tiga fasa utama yang dijangka mampu memberi perlindungan menyeluruh kepada kawasan terjejas.

“Hasil analisis dan simulasi hidrologi JPS mendapati, penyiapan sepenuhnya ketiga-tiga fasa berupaya mengurangkan risiko banjir sehingga tahap 50 Annual Recurrence Interval (ARI), selaras dengan piawaian perlindungan banjir yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Setakat Disember 2025, Fasa 1 projek telah mencapai 71.3 peratus kemajuan dan dijangka siap pada Julai 2026.

Fasa 2 pula kini berada di peringkat perolehan melalui tender terbuka pra-kelayakan dengan kerja fizikal dijangka bermula Februari 2026.

Sementara itu, Fasa 3 mencatat kemajuan 9.2 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2029.

Setelah keseluruhan projek disiapkan, ia dijangka memberi perlindungan banjir lebih menyeluruh kepada kawasan utama termasuk Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat, sekali gus mengurangkan pendedahan penduduk serta harta benda kepada risiko banjir.

Dalam pada itu, PETRA turut melaksanakan beberapa langkah mitigasi sementara di kawasan kritikal bagi mengurangkan kesan banjir sebelum projek jangka panjang siap sepenuhnya.

Antara langkah tersebut termasuk kerja-kerja pengorekan Sungai Lanchang Lemal bagi meningkatkan kapasiti sungai dan mengurangkan limpahan di kawasan rendah khususnya di Tumpat dan Pasir Mas.

Selain itu, kementerian juga menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Danau To’ Uban untuk menyelaras kawalan aras air dan pengurusan takungan semasa hujan lebat, memasang struktur mudah alih ‘flood barrier wall’ di kawasan berisiko tinggi serta melaksanakan kerja-kerja pengorekan muara Sungai Golok yang dijadualkan dalam masa terdekat.

PETRA berkata, PLSB Sungai Golok tidak terhad kepada pembinaan benteng semata-mata, sebaliknya merangkumi pengurusan menyeluruh limpahan sungai utama.

Ia termasuk pelebaran sungai, pembinaan struktur kawalan aliran serta pelaksanaan langkah mitigasi banjir bersepadu yang saling melengkapi.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan dan keselamatan rakyat, Kerajaan Persekutuan kekal komited melaksanakan projek ini mengikut perancangan dan piawaian keselamatan ditetapkan dengan kerjasama berterusan kerajaan negeri bagi memastikan perlindungan jangka panjang kepada penduduk di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.

Pada masa sama, PETRA dan JPS memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa mengalu-alukan pandangan serta cadangan daripada pelbagai pihak untuk dipertimbangkan secara konstruktif, bagi memperkukuh keberkesanan penyelesaian isu banjir monsun yang berulang saban tahun di kawasan berkenaan.

Anda Mungkin Berminat