KUANTAN: Dalam usaha memperkukuh keselamatan dan kelestarian sumber air negara, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melancarkan 38 projek pembangunan infrastruktur air di Pahang bernilai keseluruhan RM5.9 bilion.
Menurut kenyataan PETRA, projek-projek itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), dengan peruntukan RM504.2 juta bagi tahun ini melalui Rolling Plan Kelima (RP5).
“Kerajaan komited memastikan setiap rakyat khususnya di luar bandar mendapat akses kepada bekalan air bersih dan selamat menerusi pelaksanaan projek infrastruktur air berimpak tinggi,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, satu majlis perasmian Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2025 Peringkat Kebangsaan telah berlangsung meriah di Dataran Sayangi Kuantan yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang yang mewakili Menteri Besar, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Air), PETRA, Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri.
Lebih 2,000 pengunjung membanjiri sambutan dua hari itu yang menampilkan pameran agensi kerajaan dan swasta termasuk paparan pelan strategik Transformasi Air 2040 (AIR 2040).
Pada masa yang sama, PETRA turut menyampaikan Anugerah Pembangunan Sektor Air dan Anugerah Penyelidikan Ekohidrologi kepada penyelidik dan institusi pengajian tinggi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Dengan tema antarabangsa ‘Glacier Preservation’ serta tema tempatan ‘Air untuk Kehidupan’ dan slogan ‘AirKU, HidupKU, DuniaKU’, sambutan ini memperkukuh kesedaran awam terhadap nilai air sebagai sumber kehidupan dan keperluan pengurusan mampan.
“Pembangunan sektor air perlu digerakkan seiring dengan pendidikan awam dan penglibatan komuniti supaya usaha menjaga sumber air menjadi tanggungjawab bersama,” kata PETRA.
Menurutnya, sambutan ini turut berperanan sebagai platform advokasi nasional bagi menyatukan pelbagai pihak daripada pelajar hingga sektor swasta untuk menyemai semangat tanggungjawab memelihara khazanah air negara.