PETRA Lulus 13 Projek Solar Baharu, Termasuk Loji Terapung Terbesar Negara

PUTRAJAYA: Malaysia bakal menyaksikan lonjakan besar dalam pembangunan tenaga boleh baharu apabila Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meluluskan 13 projek solar berskala besar berkapasiti keseluruhan 1,975MWac di bawah Program Large Scale Solar, Peralihan Tenaga SuRiA Pusingan Kelima Tambahan (LSS PETRA 5+).

Antara projek yang diluluskan termasuk sebuah loji jana kuasa solar terapung berkapasiti 200MWac yang bakal menjadi antara loji terapung terbesar di negara ini.

Menurut PETRA, Suruhanjaya Tenaga menerima sebanyak 37 permohonan dengan jumlah kapasiti mencecah 4,073MWac iaitu dua kali ganda melebihi kuota yang ditawarkan.

Namun katanya, hanya 13 syarikat yang berjaya melepasi semua syarat dalam proses bidaan terbuka.

“Kelulusan kapasiti pembangunan solar di bawah LSS PETRA 5+ ini dijangka menjana pelaburan RM6 bilion serta mewujudkan kira-kira 12,000 peluang pekerjaan dalam industri tenaga boleh baharu,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

PETRA berkata, projek-projek itu dijangka mula membekalkan elektrik secara berperingkat antara tahun 2027 hingga 2028, menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha negara mempercepatkan peralihan tenaga.

Sejak Program LSS diperkenalkan pada 2016, sebanyak 4,263MWac kapasiti solar telah diluluskan.

Inisiatif ini bukan sahaja memperkasa pemaju tempatan, malah membuktikan daya saing mereka dalam pasaran tenaga.

“Proses bidaan terbuka ini membuktikan kemampuan syarikat tempatan untuk bersaing pada kadar tarif yang kompetitif, sekali gus memperkukuh ekosistem tenaga boleh baharu negara,” kata kenyataan itu.

PETRA turut menyatakan keyakinan bahawa pelaksanaan LSS PETRA 5+ akan menyumbang kepada sasaran meningkatkan campuran kapasiti tenaga boleh baharu negara kepada 70 peratus menjelang 2050.

Justeru katanya, langkah ini bukan sahaja menyokong aspirasi peralihan tenaga negara, malah selari dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan jejak karbon dalam sektor bekalan elektrik.

Anda Mungkin Berminat