Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menambah baik garis panduan pelaksanaan program pemasangan sistem solar di bumbung premis bangunan di bawah program permeteran tenaga bersih atau Net Energy Metering (NEM).
Menurut PETRA, penambahbaikan itu untuk menggalakkan lagi pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di bumbung premis bangunan.

“PETRA bersetuju untuk pengguna sedia ada dibenarkan meningkatkan kapasiti pepasangan sistem solar sedia dan beralih kepada Program NEM yang sedang berkuat kuasa berdasarkan syarat dan garis panduan terbaharu.
” (Ia) selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen untuk pengurangan jejak karbon oleh pengguna NEM,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Selain itu, program NEM dibuka untuk penyertaan kepada pengguna elektrik kategori pertanian bagi manfaat daripada pemasangan sistem solar fotovolta (PV).
Penambahbaikan itu antara lain untuk menyokong inisiatif dalam meningkatkan keterjaminan makanan negara.

“Berikutan itu, kuota di bawah kategori NEM Rakyat akan ditingkatkan sebanyak 150 Megawatt (MW) kepada 600MW supaya lebih ramai pengguna domestik dapat memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.
“Selain itu, kuota di bawah kategori NEM NOVA untuk pengguna komersial dan industri juga akan ditambah sebanyak 300MW kepada 1,700MW bagi menyokong usaha syarikat dan entiti korporat untuk memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pengguna kategori pertanian.
“Kesemua kuota di bawah Program NEM ini terbuka untuk permohonan oleh pengguna elektrik yang berminat sehingga 30 Jun 2025 atau sehingga kesemua kuota NEM habis diagihkan, yang mana terdahulu,” tambahnya lagi.
Pada masa sama, pemberian rebat pemasangan sistem solar sehingga RM4,000 kepada pengguna domestik dibawah Skim Insentif Solar Untuk Rakyat atau Solar For Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) akan dilanjutkan sehingga 30 April 2025, tertakluk kepada terma dan syarat kelayakan SolaRIS yang telah ditetapkan.
Ujarnya, penambahbaikan ini bagi pelaksanaan Program NEM dan pelanjutan skim SolaRIS ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.
Baca juga: