PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan membayar dividen sebanyak RM20 bilion kepada kerajaan pada 2026, tertakluk kepada keupayaan kewangannya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata jumlah itu telah diluluskan lembaga pengarah selepas mengambil kira keperluan pertumbuhan, pelaburan semula, pembayaran pinjaman serta peruntukan mencukupi bagi operasi syarikat.
Bagi tahun kewangan 2025, Petronas meluluskan pembayaran dividen RM32 bilion dengan perbelanjaan modal (capex) mencecah RM41.6 bilion.
Menurutnya, bagi tempoh lima tahun akan datang, purata capex tahunan dianggarkan antara RM45 bilion hingga RM50 bilion, bergantung kepada fasa pelaksanaan projek.
Petronas kekal sebagai antara penyumbang terbesar hasil kerajaan, dengan bayaran dividen RM32 bilion tahun lalu. Bayaran terendah dalam tempoh sedekad ialah RM16 bilion pada 2016 dan 2017.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan tidak boleh terlalu bergantung kepada dana Petronas dan perlu menerima pengurangan bayaran dividen.
Baca juga:








