PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd (Petronas), melalui anak syarikatnya Petronas LNG Ltd, telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan CNOOC Gas and Power Singapore Trading & Marketing Pte Ltd bagi pembekalan sebanyak 1.0 juta tan setahun (MTPA) gas asli cecair (LNG).
Dalam satu kenyataan media, Petronas berkata, perjanjian itu dibina atas asas hubungan kerjasama jangka panjang antara Petronas dan CNOOC.
Langkah tersebut sekali gus memperkukuh kerjasama dalam pembekalan LNG serta menyokong pertumbuhan ekonomi China dan agenda tenaga bersih negara berkenaan.
Jelas Petronas, perjanjian itu turut selari dengan aspirasi ‘dwi-karbon’ China, iaitu usaha mencapai pelepasan karbon sebelum 2030 dan neutral karbon menjelang 2060.
“Komitmen jangka panjang ini mengukuhkan kedudukan Petronas sebagai rakan LNG yang dipercayai kepada China, di samping mencerminkan kerjasama berterusan dengan CNOOC dalam antara pasaran gas paling dinamik di Asia,” menurut kenyataan itu.
Petronas berkata, seiring dengan peningkatan permintaan Asia terhadap bahan api rendah karbon, pihaknya akan terus membekalkan LNG daripada portfolio sedia ada bagi menyokong keperluan tenaga pelanggan yang semakin berkembang di seluruh rantau ini.
Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG Petronas, Shamsairi M Ibrahim berkata, perjanjian dengan CNOOC menandakan pengukuhan hubungan antara kedua-dua pihak serta memajukan komitmen bersama terhadap keselamatan tenaga dan masa depan rendah karbon.
“Selain pembekalan LNG, ia mencerminkan pembangunan berterusan perkongsian jangka panjang kami.
“Petronas kekal komited untuk menyediakan penyelesaian LNG yang boleh dipercayai dan lebih bersih, sambil bekerjasama dengan rakan strategik bagi memajukan matlamat peralihan tenaga bersama,” katanya.








