KOTA KINABALU: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri tenaga global apabila PFLNG DUA, fasiliti LNG terapung milik PETRONAS, berjaya menghantar kargo LNG ke-100.
PETRONAS dalam satu hantaran di Facebook berkata, ia menandakan satu pencapaian penting dalam usaha negara membangunkan penyelesaian tenaga yang lebih cekap dan rendah karbon.
“PFLNG DUA mencatat pencapaian penting dengan penghantaran kargo LNG ke-100 yang berjaya, satu mercu tanda dalam perjalanan LNG terapung kami,” katanya.
Beroperasi di perairan sedalam lebih 1,300 meter di medan gas Rotan, kira-kira 140 kilometer dari pesisir Kota Kinabalu, Sabah, PFLNG DUA merupakan fasiliti FLNG air dalam pertama di dunia.
Katanya, ia direka untuk mengekstrak, memproses, mencairkan dan memuatkan gas asli terus dari medan laut dalam tanpa perlu membina infrastruktur darat yang mahal dan kompleks.
“Beroperasi di perairan sedalam lebih 1,300 meter, PFLNG DUA merupakan fasiliti FLNG air dalam pertama di dunia, mencerminkan pendekatan inovatif kami dalam membuka potensi tenaga dari medan gas luar pesisir yang terpencil,” kata kenyataan itu.
Untuk info, PFLNG DUA mula beroperasi pada Februari 2021 selepas melalui proses pembinaan selama hampir lima tahun.
Kapal gergasi ini sepanjang 393 meter dan seberat 134,000 tan, dibina oleh konsortium JGC Corporation dan Samsung Heavy Industries di Korea Selatan sebelum belayar sejauh 1,840 batu nautika ke Sabah.
Tambah PETRONAS, fasiliti itu mampu menghasilkan 1.5 juta tan LNG setahun dengan menggunakan teknologi rawatan gas OASE® dari BASF untuk menyingkirkan gas berasid seperti karbon dioksida dan hidrogen sulfida dan seterusnya menjadikannya antara sistem paling efisien dan mesra alam dalam industri LNG.
Sejak pelancarannya, PFLNG DUA telah mengeksport lebih 14.53 juta meter padu LNG (bersamaan 6.15 juta tan metrik), menyumbang kepada campuran tenaga global yang lebih mampan dan boleh dipercayai.
“Sejak 2021, fasiliti ini telah mengeksport lebih 14.53 juta m³ LNG (bersamaan 6.15 juta MT), menyumbang kepada campuran tenaga yang lebih cekap dan boleh dipercayai sebagai sebahagian daripada peralihan global ke arah penyelesaian berkarbon rendah,” katanya.
PETRONAS berkata, kejayaan itu bukan sekadar pencapaian teknikal tetapi juga simbol komitmen syarikat terhadap penyampaian tenaga yang bertanggungjawab dan lestari.
“Ketika kami terus melangkah ke hadapan, kami kekal komited untuk memacu kemajuan dan kemungkinan melalui penyampaian tenaga yang bertanggungjawab,” katanya lagi.
Dengan dua fasiliti FLNG kini beroperasi iaitu PFLNG SATU dan PFLNG DUA, Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang memiliki dan mengendalikan dua kapal LNG terapung dan membuka peluang baharu untuk meneroka medan gas yang sebelum ini dianggap tidak ekonomik.