GUA MUSANG: Operasi Bersepadu Khazanah oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatat kejayaan besar apabila lebih 500 balak serta pelbagai peralatan dan jentera memproses kayu bernilai RM1.5 juta dirampas dalam dua serbuan di Gua Musang dan Kuala Krai, Kelantan pada Ahad.
Menurut laporan, empat lelaki tempatan yang dipercayai penjaga kilang dan penghantar balak turut ditahan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan pertama dijalankan di kawasan Palong, Gua Musang sekitar pukul 4 petang.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati tiga lelaki sedang mengumpul hasil hutan yang telah diproses.
“Lebih 500 balak dan kayu siap potong ditemui tanpa dokumen sah daripada Jabatan Perhutanan.
“Suspek berusia antara 28 hingga 52 tahun dipercayai terlibat dalam penghantaran hasil hutan ini untuk dijual di pasaran tempatan.
“Anggaran nilai rampasan mencecah RM1 juta,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook PGA.
Tambah Nik Ros, serbuan kedua dilakukan pada pukul 10 malam di sebuah kilang kayu di Kampung Lela Jasa, Kuala Krai.
“Premis tersebut didapati beroperasi tanpa lesen sah dan polis merampas pelbagai mesin pemproses kayu termasuk Bound Saw dan mesin ketam Tokiwa.
“Seorang lelaki berusia 52 tahun yang dipercayai penjaga kilang turut ditahan dengan anggaran rampasan sebanyak RM500,000,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985.
Nik Ros menegaskan PGA akan terus mempergiat operasi untuk membanteras pembalakan haram yang semakin berleluasa di sempadan negara.