Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai lebih RM2 juta dalam Ops Taring Nyah 1 Johor dan Selangor pada Ahad lalu.
Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA PDRM, Superintendan Shohaiami Ismail berkata, pihaknya juga telah menahan seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 27 tahun.
“Berdasarkan maklumat awam, sepasukan polis dari Batalion 6 PGA membuat serbuan di kawasan kebun pisang, Kampung Ulu Tiris, Sepang Selangor.
“Hasil pemeriksaan di sebuah pondok di kawasan tersebut, lelaki berkenaan ditahan bersama lima buah beg pelbagai jenama yang berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 52.5 kilogram bernilai RM2,100,000.
“Tangkapan ini berjaya melumpuhkan salah satu sindiket rangkaian pengedaran dadah rentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak narkotik Ibu Pejabat Daerah Sepang untuk tindakan lanjut.
Shohaiami juga menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Baca juga: