PH-BN dan PAS-Bersatu berdepan cabaran besar menjelang PRN Melaka – Penganalisis

PETALING JAYA: Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dijangka berakhir pada 26 Disember 2026 dan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan selewat-lewatnya pada 24 Februari 2027.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata tempoh tersebut menjadikan PRN Melaka sama ada berlangsung pada tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

Menurut beliau, pilihan raya itu bakal menjadi medan ujian penting kepada semua parti politik, khususnya dalam menilai kekuatan serta keserasian kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“PRN Melaka akan menjadi testimoni penting untuk mengukur tahap kesediaan dan keikhlasan kerjasama politik antara parti-parti utama,” katanya baru-baru ini.

Mengulas kemungkinan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Dr Yusri berpandangan ia sukar diterjemahkan secara harmoni di peringkat operasi di Melaka.

Katanya, walaupun kepimpinan tertinggi mungkin memutuskan untuk bekerjasama, pelaksanaannya di akar umbi belum tentu berjalan lancar.

“Kerjasama itu mungkin wujud dari segi keputusan politik, tetapi dari sudut operasi ia boleh menjadi kurang strategik dan praktikal.

“Tenaga mungkin lebih banyak dihabiskan untuk mengurus krisis dalaman serta pergeseran sesama sendiri,” jelasnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kedua-dua gabungan itu bertembung dalam PRN Melaka sekiranya perbezaan tidak dapat diurus dengan baik, malah situasi tersebut dilihat lebih selari dengan dominasi ego parti masing-masing.

Dalam pada itu, Dr Yusri turut melihat krisis dalaman yang melanda Perikatan Nasional (PN) ketika ini sebagai berada pada tahap sukar untuk dipulihkan sepenuhnya.

Menurutnya, walaupun kesepakatan dapat dicapai, hubungan antara PAS dan BERSATU dijangka tidak lagi seharmoni sebelum ini kerana wujud unsur prasangka dan prejudis.

“Dalam keadaan sedemikian, agak mencabar untuk mereka kembali bekerjasama secara kukuh dalam pilihan raya,” katanya.

Dr Yusri tidak menolak kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa BERSATU memimpin gabungan longgar parti-parti lain bagi menghadapi PRN Melaka.

Pada masa sama, beliau berpandangan PAS berpotensi bergerak secara bersendirian atau membentuk kerjasama alternatif seperti pendekatan Gagasan Sejahtera sebelum ini.

“Secara keseluruhan, politik kini berada dalam fasa ‘musim orang berbalah’ – masing-masing berebut pengaruh dan kedudukan.

“PRN Melaka nanti akan menjadi pentas awal untuk melihat siapa yang benar-benar bersedia dan siapa yang sekadar berebut ‘pisang’,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat