KUALA LUMPUR: Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 menyaksikan skuad Malaysia bertarung hebat dalam perlawanan akhir menentang Thailand tetapi akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 0-2.
Dalam aksi penuh debaran di Stadium Titiwangsa, regu pertama negara, Amirul Zazwan Amir, Syahir Rosdi dan Azlan Alias telah memberikan saingan sengit sehingga membawa perlawanan ke set penentuan sebelum tewas tipis 15-17.
Harapan Malaysia untuk menghidupkan peluang kemenangan diletakkan pada regu kedua, Farhan Adam, Haziq Hairul Nizam dan Noraizat Nordin, namun mereka tidak mampu menandingi dominasi Thailand apabila kalah 4-15 dalam set terakhir.
Walaupun gagal meraih gelaran juara, pasukan Malaysia tetap boleh berbangga kerana berjaya membawa pulang dua trofi dalam acara kuadran dan regu, sekali gus membuktikan bahawa mereka masih antara kuasa besar dalam arena sepak takraw Asia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan keyakinannya terhadap kebangkitan skuad negara.
“Meskipun Malaysia tewas kepada Thailand, saya tetap yakin skuad negara mampu bangkit dan mencipta kejayaan pada masa hadapan.
“Kekalahan hari ini bukan bererti kegagalan selamanya. Skuad regu negara pasti akan bangkit dengan lebih kuat dan padu dalam kejohanan-kejohanan yang akan datang,” ciapnya di laman X.








