Piala MFL dimansuhkan, fokus stabilkan kewangan kelab

MALAYSIAN Football League (MFL) mengesahkan kejohanan Piala MFL tidak akan dipertandingkan pada musim 2025-2026 selepas keputusan sebulat suara dicapai oleh Rakan Kongsi Liga yang terdiri daripada 13 kelab Liga Super.

Menurut MFL, keputusan itu dibuat dalam pertemuan pada 19 Februari lalu selepas mengambil kira beban kewangan tinggi yang ditanggung oleh kelab dalam membiayai pasukan bawah 23 tahun masing-masing.

Menurut MFL, kos keseluruhan bagi pembayaran gaji pemain serta operasi logistik Piala MFL mencecah RM28 juta dalam tempoh dua musim.

“Dengan mengambil kira pandangan semua Rakan Kongsi Liga, MFL percaya keputusan untuk memansuhkan saingan Piala MFL ini perlu diambil bagi mengukuhkan serta menstabilkan kedudukan kewangan kelab,” kata kenyataan rasmi MFL pada Isnin.

Piala MFL mula diperkenalkan pada 2023 dengan sokongan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai langkah pembangunan pemain muda.

Namun, selepas dua musim, pihak liga mendapati pemain dalam lingkungan usia 20 hingga 23 tahun sepatutnya sudah bersaing untuk merebut tempat dalam skuad utama, bukan hanya beraksi dalam kejohanan peringkat umur.

Meskipun kejohanan Piala MFL dimansuhkan, MFL menegaskan bahawa pembangunan bakat muda tetap menjadi keutamaan. Kejohanan Piala Presiden (bawah 20 tahun) dan Piala Belia (bawah 18 tahun) akan terus dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selain itu, MFL juga komited memperkasakan saingan Liga Super sebagai satu-satunya liga domestik utama bagi musim 2025-2026.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat