KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya kendalian jurulatih Australia, Peter Cklamovski, bakal berdepan ujian getir apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Tajikistan, Iran dan Afghanistan bagi edisi kedua kejohanan Piala Negara-Negara CAFA 2025.
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), majlis undian yang berlangsung sebentar tadi menyaksikan Malaysia akan beraksi di Dushanbe, Tajikistan, menentang tuan rumah pada 29 Ogos, Iran pada 1 September dan Afghanistan pada 4 September 2025.
“Sementara Kumpulan A akan berlangsung di Tashkent, Uzbekistan, melibatkan pasukan tuan rumah Uzbekistan, Republik Kyrgyz, Turkmenistan dan Oman.
“Juara kumpulan akan mara ke Final di Tashkent pada 8 September 2025,” kata FAM dalam satu hantaran di Facebook.
Manakala, naib juara kumpulan pula akan bertemu dalam Penentuan Tempat Ketiga di Dushanbe pada tarikh yang sama.
Untuk info, Iran, juara edisi sulung pada 2023, merupakan pasukan yang telah layak ke Piala Dunia 2026 dan berada di ranking ke-18 dunia.
Tajikistan dan Afghanistan pula dijangka tampil dengan semangat tinggi di laman sendiri.
Malaysia, yang bukan ahli rasmi CAFA, tampil sebagai pasukan jemputan dan menjadikan kejohanan ini sebagai medan persiapan menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.