PIKAS 2030: Bawa perubahan, mampu bina Malaysia jadi negara progresif – PM

Oleh: Kamilia Ali

CYBERJAYA: Kerajaan komited bagi memastikan setiap usaha yang diambil menerusi Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2030 (PIKAS 2030) akan membawa perubahan sosial dan ekonomi yang bermakna serta merangkumi seluruh rakyat demi membina sebuah negara progresif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, PIKAS 2030 merupakan inisiatif bersepadu yang telah ditambah baik dalam mengukuhkan tata kelola dan pengurusan projek yang dilaksanakan melalui pendekatan kerjasama awam dan swasta.

“Matlamat pelan ini adalah bagi menyediakan landskap Kerjasama Awam-Swasta (Public-Private Partnership – PPP) yang teguh dan mampan dalam memacu kesejahteraan negara.

“PPP merupakan perkongsian pintar antara kerajaan dan sektor swasta dalam menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam.

“Sebanyak 175 projek PPP telah dilaksanakan sejak 2009 hingga 2023. Justeru, seiring dengan agenda pembangunan negara, Kerajaan akan mengutamakan pelaksanaan cadangan projek PPP secara bidaan bersaing melalui Request for Proposal (RFP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 bertempat di Dewan Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia, di sini.

Tambah beliau, menerusi proses ini, ia akan mempertingkatkan persaingan, inovasi, kualiti perkhidmatan dan memberi nilai faedah terbaik kepada kerajaan serta rakyat.

“Matlamat PIKAS fokus kepada peningkatan pelaburan swasta kepada RM78 bilion, sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar kepada RM82 bilion, dan penciptaan 900,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030,” jelasnya lagi.

Anda Mungkin Berminat