Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Dorongan ibu bapa di rumah penting dalam memupuk amalan membaca dalam kalangan generasi muda kini.
Malah, budaya membaca tidak terhad hanya di sekolah dan ianya perlu dipupuk sedari awal oleh ibu bapa supaya mereka dapat menjadikan budaya membaca sebagai tabiat.
Pengarah Projek Penerbitan Buku Pena Malaysia MADANI, Mohd Khair Ngadiron berkata, proses minat membaca itu tidak boleh bermula dengan paksaan.
“Kalau kita (ibu bapa) paksa membaca, tidak boleh. Mereka kena tunjuk contoh seperti mengajak anak-anak, “Mari kita baca buku”. Kalau ibu bapa paksa, tapi mereka menonton televisyen dan tidak bersama anak-anak untuk membaca, itu tidak akan memupuk minat mereka.
“Kenapa saya suka buku? Saya suka membaca kerana melihat arwah ayah saya baca surat utusan jawi ketika itu. Setiap hari saya tunggu untuk baca dan sebab itu saya pandai jawi. Jadi, minat saya membaca ini kerana orang tua saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika temubual mengenai Projek Penerbitan Buku Pena Malaysia MADANI bersama Malaysia Bangkit pada Selasa.

Mohd Khair turut berkongsi panduan kepada ibu bapa untuk menarik minat anak membaca antaranya dengan mempelbagaikan bahan bacaan mereka dan ianya haruslah berunsur ilmiah.
“Contoh sekiranya minat anak kita menjurus kepada komik. Saya bermula membaca dengan komik. Sekarang zaman visual yang mana akan buat anak-anak cepat memahami dan membaca,” katanya lagi.








