Pindaan Akta 640, 652 Lulus: Malaysia Perkasa Sistem Kemahiran Negara

PARLIMEN | Malaysia kini melangkah lebih jauh dalam memperkukuh ekosistem tenaga kerja mahir negara apabila Dewan Rakyat meluluskan pindaan kepada dua akta penting iaitu Akta 640 dan Akta 652 yang menyentuh aspek pembangunan dan pembiayaan latihan kemahiran.

Langkah ini dilihat sebagai reformasi menyeluruh yang menyasarkan sistem latihan kemahiran lebih responsif terhadap perubahan teknologi, inklusif kepada pelbagai golongan pelajar dan pekerja serta teguh dari segi integriti dan tadbir urus.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu hantaran di Facebook berkata, pindaan itu akan membolehkan penyelarasan sistem pembangunan dan pembiayaan kemahiran dilaksanakan dengan lebih seragam dan efisien.

“Impak positif daripada pindaan ini dapat membantu negara melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang kompeten dan memenuhi keperluan industri.

“Seterusnya menjadi pendokong untuk merealisasikan hasrat kerajaan mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga mahir dari luar,” kata kenyataan itu.

Reformasi itu juga sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan modal insan, kesejahteraan pekerja dan daya saing tenaga kerja negara.

Ia dijangka memperkukuh ekosistem tenaga mahir ke arah transformasi ekonomi masa depan yang dipacu teknologi dan inovasi.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada Rabu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad telah membentangkan Bacaan Kedua dan Ketiga Rang Undang-Undang Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 [Akta 640].

Beliau berkata, pindaan itu bertujuan memperkukuh sistem pembangunan kemahiran negara menerusi penambahbaikan mekanisme pembiayaan latihan berkualiti dan pemantapan tadbir urus Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), sebuah agensi di bawah KESUMA.

“Langkah ini membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mengakses latihan berkualiti termasuk program di luar konteks standard kompetensi kebangsaan iaitu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang mempunyai permintaan tinggi oleh industri.

“Reformasi ini memastikan PTPK berfungsi secara mampan, telus dan inklusif,” katanya.

Antara elemen utama yang diketengahkan termasuk perluasan skop Pinjaman Latihan Kemahiran dan Bantuan Kewangan kepada program latihan lain yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), pemantapan tadbir urus melalui proses kelulusan dan kawalan bantuan kewangan yang lebih telus serta pengukuhan tindakan penguatkuasaan dan penyiasatan.

Ini termasuk had masa tindakan undang-undang selama 12 tahun dan sekatan keluar negara terhadap peminjam ingkar.

Anda Mungkin Berminat