PARLIMEN | Cubaan pembangkang untuk menggagalkan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 daripada diluluskan tidak kesampaian apabila undi belah bahagian tidak berpihak kepada mereka.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata berdasarkan undian, seramai 59 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 40 tidak bersetuju serta seorang tidak mengundi dan 122 lagi tidak hadir.
“Maka RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 diluluskan,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari sebelum itu memohon supaya undi belah bahagian dibuat selepas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menggulung perbahasan RUU berkenaan.
Permohonan itu menyebabkan persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan selama 10 minit bagi Ahli Parlimen kedua-dua blok memasuki dewan untuk mengundi.
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia pindaan 2024 yang bakal menawarkan reformasi kawal selia menyeluruh dan memberi jaminan keselamatan kepada pengguna internet di negara ini.
Pindaan terhadap akta tersebut diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 24 ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil ketika membentangkan RUU berkenaan berkata, ia bertujuan melindungi data dan transaksi harian daripada pelbagai kemudaratan dalam talian, termasuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.
Mengetengahkan kes penipuan dalam talian, beliau berkata, ia masih berleluasa walaupun pelbagai usaha pencegahan dilaksanakan atas beberapa faktor utama.
Katanya, scammer sentiasa mengembangkan modus operandi menggunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi untuk menjadikan penipuan lebih canggih dan sukar dikesan.
RUU itu kata Fahmi, bertujuan menangani kemudaratan dalam talian, terutama media sosial dengan menambah baik peruntukan sedia ada, termasuk Seksyen 211 dan Seksyen 233.
Katanya, ia bakal memperkenal peruntukan baharu antaranya larangan menghantar, menyebabkan dihantar atau membenarkan penghantaran mesej elektronik komersial tidak diminta seperti spam yang kebanyakannya menjurus kepada penipuan.
Baca juga: