Pindaan perlembagaan PKR beri lebih keadilan kepada ahli – Fahmi

Oleh: Hanim Nadia

SHAH ALAM: Pindaan perlembagaan PKR berhubung proses pemilihan parti memberi lebih keadilan kepada ahli daripada pelbagai latar belakang terlibat dalam proses pemilihan kepimpinan tertinggi parti.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, pindaan yang diluluskan dalam Kongres Nasional Khas parti itu hari ini, membolehkan peningkatan kepada jumlah perwakilan yang memilih kepimpinan parti berikutan proses pemilihan akan diadakan secara fizikal dan hibrid.

“Ini adalah pindaan yang memberi lebih keadilan di samping kita turut menerapkan proses pendigitalan di mana undian di peringkat cabang dilaksanakan secara dalam talian.

“Harapan saya, ini akan membolehkan partisipasi keterlibatan semua anggota daripada pelbagai kaum dari pelbagai negeri dan latar belakang dalam proses memilih pimpinan tertinggi parti apabila tiba masanya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Nasional Khas PKR yang dirasmikan Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Raja Muda Musa pada Ahad.

Tambahnya, pindaan perlembagaan itu turut melibatkan prinsip penetapan kuota jantina dan etnik supaya lebih terangkum dan tidak ada kumpulan etnik yang tertinggal atau tidak terlibat dalam proses pemilihan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata menerusi pindaan itu juga cabang yang mempunyai jumlah ahli yang tinggi, jumlah penglibatan mereka dalam pemilihan turut meningkat sekaligus memberikan keadilan kepada cabang berkenaan.

Terdahulu, pindaan perlembagaan parti berkait proses pemilihan parti yang diluluskan itu membolehkan jumlah perwakilan yang akan mengundi bagi enam jawatan tertinggi parti serta 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di Kongres Nasional ditingkatkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat