Pinjaman Mikro 4 Peratus Bantu Peniaga Kecil

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini turun padang ke Pasar Tani Taman Melawati bagi meninjau sendiri pelaksanaan kemudahan pembiayaan mikro serta menyantuni penjaja, peniaga kecil dan usahawan mikro.

Lawatan tersebut diadakan susulan perbincangan bersama pelbagai agensi mikrokredit termasuk BSN, TEKUN Nasional, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), MARA dan Agrobank bagi memperkukuh penyampaian maklumat serta memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada kemudahan pembiayaan yang disediakan kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, pendekatan turun padang amat penting agar rakyat tidak perlu berdepan kesukaran mendapatkan maklumat atau hadir sendiri ke pejabat agensi berkaitan.

“Sebaliknya, agensi digalakkan mendekati rakyat secara langsung bagi memberi penerangan serta memudahkan urusan permohonan pembiayaan,” katanya.

Kemudahan pinjaman mikro yang ditawarkan mampu membantu peniaga kecil mengembangkan perniagaan melalui kadar pembiayaan rendah sekitar empat peratus setahun di samping proses bayaran balik yang memberangsangkan.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi dan pegawai yang turun padang dalam usaha membantu rakyat memahami peluang yang tersedia khususnya kepada penjaja dan usahawan mikro yang menjadi tulang belakang ekonomi setempat.

“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh akses pembiayaan inklusif demi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang meningkatkan taraf hidup serta memperkasa ekonomi komuniti,” kata beliau.

Anda Mungkin Berminat