PJRM Mega Hari Malaysia Pahang: Ringan Beban Kos Sara Hidup Rakyat

KUANTAN: Ribuan pengunjung membanjiri Tapak Hadapan Pasar Nelayan Pantai Sepat sempena Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Mega Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang, yang berlangsung meriah selama dua hari bermula Sabtu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, program anjuran KPDN itu menawarkan lebih 100 barangan keperluan asas dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus, iaitu satu inisiatif langsung untuk membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup.

“Daging segar dijual pada harga RM25 sekilogram, ayam segar RM10 hingga RM11 seekor dan telur ayam gred B RM9.50 sepapan.

“Harga ini jelas memberi manfaat kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata, antara barangan yang ditawarkan termasuk daging, ayam, beras, sayur-sayuran, telur, minyak masak, tepung, biskut, bawang, rempah, sardin, bihun serta barangan kebersihan rumah.

Katanya program itu dijangka menarik lebih 5,000 pengunjung, dengan penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut berpeluang membeli barangan asas terpilih menggunakan bantuan one-off RM100.

Setakat 12 September, KPDN Pahang telah menganjurkan 1,012 siri PJRM di seluruh negeri, merangkumi pelaksanaan di premis, pasar, kampus dan secara bergerak

Bagi memeriahkan suasana, insentif e-dompet bernilai RM20 diagihkan kepada 1,500 pengunjung terawal, manakala 127 asnaf sekitar Pantai Sepat menerima zakat wakalah daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

PJRM yang diperkenalkan sejak 2023 kini menjadi simbol usaha kerajaan untuk memastikan akses kepada barangan asas kekal berpatutan, inklusif dan menyeluruh.

Anda Mungkin Berminat