PKR Adakan Mesyuarat Biro Politik Pertama, Fokus Kos Sara Hidup dan PRN Sabah

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan mesyuarat pertama Biro Politik bagi sesi 2025/2028 petang tadi yang dipengerusikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Biro Politik PKR dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden serta Naib-Naib Presiden parti.

“Mesyuarat dimulakan dengan perbincangan mengenai dasar-dasar utama yang bakal diperkenalkan oleh pihak eksekutif dengan penekanan khusus terhadap impaknya terhadap kos sara hidup rakyat.

“Langkah-langkah susulan turut diperhalusi bagi memastikan manfaat kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan parti,” katanya.

Kenyataan itu berkata, fokus utama mesyuarat juga tertumpu kepada persiapan PKR menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Katanya, kepimpinan tertinggi parti memberi penekanan terhadap strategi kesiapsiagaan, dengan Timbalan Presiden serta Naib-Naib Presiden diberikan tugasan khusus untuk memastikan kemenangan PKR serta rakan-rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan Madani.

“Demi kelangsungan persediaan PRN, mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud akan terus menjalankan tugas sebagai Pengerusi Negeri Sabah sementara menunggu pelantikan kepimpinan MPN yang baharu.

“Peto Galim juga akan meneruskan tanggungjawab sebagai Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) Sabah,” kata kenyataan itu.

Selain itu, katanya, mesyuarat turut memutuskan bahawa Fuziah Salleh dan William Leong akan meneruskan peranan masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung PKR sehingga pelantikan barisan kepimpinan baharu dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang akan datang.

Anda Mungkin Berminat