PETALING JAYA: Debaran menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 semakin terasa apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan akan mengumumkan senarai penuh calon yang bakal bertanding.
Pengumuman rasmi itu dijadual berlangsung pada Ahad, 9 November, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, bermula pukul 7 malam.
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi PKR pada Khamis, parti itu menyeru rakyat Sabah untuk hadir menyaksikan detik penting tersebut yang disifatkan sebagai permulaan gelombang perubahan.
“Gendang sudah kedengaran, gelombang Sabah kini tiba.
“Dari pantai timur hingga ke pedalaman, semangat urang Sabah semakin membara.
“Ayuh bersama kami untuk menyaksikan Pengumuman Calon PKR bagi PRU Dewan Undangan Sabah 2025,” katanya.
PKR turut menegaskan komitmen tinggi mereka terhadap PRU kali ini dengan tekad membawa suara dan harapan rakyat Sabah ke pentas pentadbiran negeri.
“Ini kali bukan main-main, PKR datang dengan satu tekad, mau bawa Harapan Urang Sabah jadi kenyataan,” katanya.
Terdahulu, Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, memaklumkan bahawa pengumuman calon akan disempurnakan sendiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“(Perbincangan) kerusi dengan Barisan Nasional sudah dimuktamadkan, manakala dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tinggal satu kerusi lagi, tapi saya fikir akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.








