PKR Belum Sah Laporan Rafizi Enggan Rasmi Kongres Sayap Parti

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum dapat mengesahkan laporan bahawa Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli yang enggan merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita parti yang dijadual berlangsung pada 22 Mei di Johor Bahru.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, ketika diminta mengulas, memberikan jawapan ringkas.

“Belum boleh confirm,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) .

Semalam, laporan media mendakwa Rafizi dipercayai telah menghantar surat kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan pendiriannya untuk tidak merasmikan kongres tersebut.

Keputusan itu dikaitkan dengan peningkatan sokongan terhadap pencabarnya bagi jawatan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar.

Selain itu, tindakan PKR Sabah yang tidak menjemput Rafizi ke pelancaran jentera PRN di Kota Kinabalu semalam turut mencetuskan spekulasi mengenai dinamika politik dalaman parti.

Dalam siri kempen terbarunya, Rafizi turut mengkritik beberapa pemimpin parti, termasuk Naib Ketua Pemuda PKR, Kamil Abdul Munim yang dijangka mengetuai AMK untuk penggal 2025 hingga 2028.

Pemilihan jawatan pusat PKR dijadual berlangsung pada 23 Mei dengan persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden menjadi tumpuan utama.

Anda Mungkin Berminat