PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam keras serangan terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata tindakan rejim Israel itu bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS) dan norma kemanusiaan sejagat.
“PKR berdiri teguh menolak segala bentuk kezaliman. Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi tulang belakang gerakan GSF adalah mesej jelas kepada dunia bahawa kita tidak akan berkompromi dengan penindasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan seorang anggota Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan, Danish Nazran Murad, termasuk antara aktivis yang ditahan tentera Israel ketika belayar bersama kapal Grande Blu.
Selain itu, PKR turut berbangga dengan keberanian Profesor Dr. Mohd Afandi Salleh, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang masih meneruskan pelayaran bersama kapal Consience di bawah Freedom Flotilla Coalition (FFC).
“Pengorbanan mereka melambangkan semangat solidariti rakyat Malaysia yang menuntut kebebasan untuk Palestin. Kezaliman Israel mesti terus dikecam tanpa mengira latar belakang budaya atau fahaman politik,” tegasnya.
Beliau menegaskan, genosid di Gaza adalah jenayah terbesar dalam sejarah moden dan hanya melalui tekanan konsisten masyarakat antarabangsa, hak tahanan serta kebebasan rakyat Palestin dapat dijamin.
Misi flotilla ke Gaza bukanlah kali pertama aktivis antarabangsa berdepan kekerasan Israel. Sejak lebih sedekad lalu, kapal bantuan kemanusiaan sering dipintas tentera rejim, namun ia tetap menjadi simbol solidariti global terhadap penderitaan rakyat Palestin.
Baca juga:








