PETALING JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap anak kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, tengah hari tadi.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar meluahkan rasa kesal terhadap gejala buli yang masih berleluasa dan kini disusuli pula dengan insiden yang disifatkan sebagai kejam dan khianat.
“Kita masih belum reda dari gejala buli di sekolah, muncul pula satu lagi tindakan yang sangat dikesalkan.
“Mutakhir adalah percubaan jahat dan khianat terhadap anakanda saudara Rafizi Ramli.
“Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bagi memastikan siasatan telus dan segera.
“Mendoakan kesejahteraan yang terbaik buat saudara Rafizi serta keluarga,” kata Anwar.
Dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh turut menyuarakan kecaman keras terhadap serangan tersebut, sambil menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak berperikemanusiaan.
“Kanak-kanak sama sekali tidak boleh dijadikan mangsa dalam apa jua keadaan.
“Tindakan sebegini adalah kejam, tidak berperikemanusiaan dan mesti dikecam sekeras-kerasnya oleh semua pihak,” ujarnya.
PKR turut menggesa pihak berkuasa agar bertindak segera dan tegas dalam membawa pelaku ke muka pengadilan serta memastikan keselamatan dan perlindungan buat semua rakyat khususnya kanak-kanak.
Insiden mengejutkan itu didedahkan sendiri oleh Rafizi menerusi satu kenyataan yang memaklumkan bahawa anaknya telah dicucuk dengan jarum suntikan oleh seorang lelaki tidak dikenali.
“Sekitar jam 1.45 petang ini, semasa anak dan isteri saya memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anak saya dan mencucuknya dengan jarum suntikan,” katanya.