PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Langat menyuarakan sokongan penuh terhadap pelantikan Ketua Hakim Negara yang dikatakan berlangsung mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan dan bebas daripada pengaruh politik.
Dalam satu kenyataan, Ketua Cabang PKR Kuala Langat, Mohd Afiq Mohd Tuniman, memuji pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang konsisten menjunjung prinsip pemisahan kuasa dan menghormati kedaulatan undang-undang negara.
“Kami percaya pelantikan ini dilaksanakan secara telus dan berdasarkan syor Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), bukan melalui tekanan politik,” katanya.
Kenyataan tersebut turut merujuk kepada insiden kebocoran minit mesyuarat JAC yang menurut mereka menunjukkan dengan jelas bahawa Perdana Menteri tidak terlibat secara langsung dalam proses pemilihan Ketua Hakim Negara.
“Sebarang cubaan untuk memesongkan persepsi awam dengan manipulasi politik murahan harus ditolak,” tegasnya.
Mohd Afiq mengecam sebarang usaha menggugat kepercayaan awam terhadap institusi kehakiman dan menyifatkan tindakan sedemikian sebagai percubaan mencemar kredibiliti badan perundangan tertinggi negara.
“Integriti dan ketelusan institusi kehakiman adalah kunci utama dalam memastikan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan terus kekal utuh,” tambahnya.
Pelantikan Ketua Hakim Negara menjadi tumpuan berikutan kelewatan pengumuman rasmi dan kebocoran dokumen JAC yang mencetuskan pelbagai spekulasi berhubung kemungkinan wujudnya campur tangan politik.