HULU PERAK: Cabang PKR Lenggong tidak terbubar walaupun 15 Ahli Jawatankuasa (AJK) meletakkan jawatan serentak, menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh.
Menurutnya, ibu pejabat parti telah menerima surat peletakan jawatan berkenaan dan siasatan lanjut mendapati jumlah tersebut tidak mencukupi untuk membubarkan cabang.
“Untuk jawatankuasa cabang terbubar, ia memerlukan peletakan jawatan oleh sekurang-kurangnya 21 AJK, seperti termaktub dalam Perlembagaan parti,” katanya, memetik Malaysiakini pada Jumaat.
Peletakan jawatan itu dipercayai berpunca daripada dakwaan berlakunya ketidaktelusan dan ketidakadilan dalam proses pemilihan parti di cabang tersebut.

Sebelum itu, salah seorang calon Ketua Cabang, Ahmad Nizam Noh, memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di Putrajaya. Katanya, walaupun ramai calon pasukannya menang dalam pemilihan AJK, beliau tewas dalam perebutan jawatan ketua cabang.
Sebagai protes, katanya, kesemua 15 AJK dari pasukannya yang menang telah meletakkan jawatan serta-merta.
Mengikut Fasal 37.3 Perlembagaan PKR, jawatankuasa cabang perlu merangkumi ketua cabang, timbalan, naib ketua, ketua wanita, ketua pemuda serta 15 AJK yang dipilih. Ketua cabang juga berhak melantik sehingga 20 AJK tambahan, menjadikan maksimum 31 AJK.
Untuk membubarkan jawatankuasa, sekurang-kurangnya dua pertiga AJK — iaitu 21 orang — perlu meletak jawatan serentak.
Bagaimanapun, semakan terhadap Perlembagaan parti menunjukkan kekaburan berkenaan kuasa pelantikan AJK sebelum mesyuarat pertama diadakan.
Fasal 38.2 menyatakan notis mesyuarat mesti dikeluarkan oleh setiausaha cabang sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh mesyuarat, manakala Fasal 38.4 menetapkan korum mesyuarat adalah sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah keseluruhan AJK.
Setakat ini, belum ada peruntukan jelas mengenai kuasa pelantikan AJK sebelum mesyuarat pertama berlangsung.
Baca juga: