PKR masih bernyawa, ini bukan titik noktah – AMK

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih lagi bernyawa walaupun berada dalam keadaan cedera dan parah.

Timbalan Pengarah Komunikasi AMK Malaysia, Adib Burhan berkata, parti itu masih konsisten dan mempunyai ruang untuk dipulihkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Adib Burhan tampil menegaskan bahawa teguran disuarakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengenai keadaan semasa parti perlu dipandang serius oleh pimpinan dan anggota.

Menurutnya, generasi muda yang membesar bersama perjuangan Reformasi melihat situasi itu sebagai peringatan agar PKR kembali memperkukuhkan peranannya sebagai wadah perjuangan rakyat.

“Kami bersetuju dan mengakui Keadilan kini cedera dan parah.

“Namun, ini bukan titik noktah, sebaliknya petanda bahawa jasad parti masih bernyawa dan memerlukan rawatan segera agar tidak lumpuh,” katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebooknya pada lewat Khamis.

Beliau berkata, AMK bersedia membantu saf kepimpinan parti dengan menggerakkan lebih ramai golongan profesional muda termasuk peguam, teknokrat, aktivis dan ilmuwan.

Katanya, usaha itu akan diperkasakan menerusi media sosial selain memperluaskan khidmat kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

“Fokus kami adalah memulihkan roh dan imej parti menjelang PRU-16 selain membugarkan semangat anggota supaya Keadilan kembali menjadi jurucakap suara rakyat,” ujarnya.

Adib turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Ketua AMK, Kamil Munim dalam menerajui usaha pemulihan parti selain menegaskan golongan muda PKR akan terus mempertahankan kepimpinan Presiden parti PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat