KUALA TERENGGANU: Perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Terengganu mesti kekal berakar daripada semangat reformasi dan terus utuh dalam membela nasib rakyat khususnya golongan miskin serta terpinggir, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pertemuan bersama pimpinan dan anggota PKR Terengganu hari ini, beliau menekankan bahawa parti tidak boleh sekadar hadir tetapi perlu menembusi dengan pendekatan yang lebih mengesankan berteraskan fakta, khidmat dan keikhlasan.
“Sejarah telah membuktikan kemampuan kita dan kekuatan ini perlu dirangkul semula dengan memastikan setiap kawasan di Terengganu dijaga rapi serta diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Anwar turut mengingatkan bahawa pimpinan dan anggota di setiap cabang mesti memperkukuh organisasi, memperhebat gerak kerja serta turun menyantuni rakyat dengan penjelasan jelas mengenai dasar Kerajaan MADANI kerana rakyat berhak mengetahui kebenaran dan tidak terperangkap dalam fitnah serta dakyah mengelirukan oleh pembangkang.
Beliau berkata, PKR tidak harus tunduk kepada politik sempit yang menolak fakta dan mengangkat sentimen kosong.
Sebaliknya, Anwar berkata, parti mesti tampil sebagai suara harapan dengan mengangkat nilai ihsan serta menawarkan penyelesaian nyata demi masa depan rakyat Terengganu dan negara.
“Insya-Allah, dengan tekad yang jitu, kesatuan yang utuh dan gerak kerja yang berdisiplin, PKR akan kembali menjadi suara yang membela dan memperjuangkan nasib rakyat negeri Terengganu,” ujar beliau.








