PKR Pahang tolak tekanan laksana Titah Adendum Najib jalani hukuman di rumah

KUANTAN: PKR Pahang menegaskan penolakan terhadap sebarang usaha yang bertujuan memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk melaksanakan titah adendum yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.

Dalam kenyataan bersama, kesemua 14 Ketua Cabang PKR Pahang merujuk kepada titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 28 Februari lalu yang menitahkan agar perbahasan mengenai isu tersebut dihentikan kerana ia masih dalam proses perundangan di mahkamah.

“Kami menegaskan bahawa sebarang cubaan membangkitkan semula isu ini atau memberi tekanan kepada YAB Perdana Menteri untuk bertindak secara bersendirian adalah satu tindakan yang mencabar keluhuran Perlembagaan, tidak menghormati sistem kehakiman, tidak matang, serta mencampuri urusan mahkamah,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Kenyataan tersebut turut menyifatkan tindakan itu sebagai bertentangan dengan titah Sultan Pahang sendiri.

Sehubungan itu, Ketua-Ketua Cabang PKR Pahang menyeru seluruh rakyat, khususnya di negeri Pahang, agar terus menjunjung kasih serta menzahirkan taat setia kepada institusi diraja sebagai teras pemerintahan negeri.

“Kami memberi sokongan penuh kepada pendirian Perdana Menteri untuk terus berpegang pada prinsip tidak mencampuri urusan mahkamah, namun beliau juga terbuka untuk memberikan penjelasan kepada pimpinan Umno berkenaan isu ini,” ujar mereka.

Terdahulu, pada 29 Januari 2024, iaitu hari terakhir Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda dilaporkan telah menitahkan agar hukuman penjara terhadap Najib bagi kes rasuah SRC International diringankan dengan membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani tahanan di rumah.

Adendum tersebut merupakan tambahan kepada keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib kini sedang dalam proses perundangan bagi menguatkuasakan titah adendum itu di mahkamah.

Pada 9 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan dimaklumkan bahawa Peguam Negara tidak menafikan kewujudan titah adendum tersebut, namun Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, mempersoalkan cara bukti baharu itu dibawa ke mahkamah.

Susulan perkembangan itu, seramai 160 Ketua Bahagian Umno di seluruh negara telah mendesak agar kerajaan melaksanakan segera titah adendum berkenaan.

Perdana Menteri dalam reaksinya pada Jumaat lalu menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan pimpinan Umno berhubung perkara tersebut, namun menegaskan pendirian bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam proses kehakiman.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat