PETALING JAYA: Krisis politik dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin meruncing apabila Datuk Seri Rafizi Ramli bertindak keluar parti dan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan.
Tindakan itu disifatkan oleh PKR Cabang Pandan sebagai satu pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang telah memilih beliau pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Naib Ketua Cabang PKR Pandan, Viknesvaran Jairaman, dalam satu kenyataan media berkata, langkah Rafizi itu membelakangi perjuangan anggota parti yang selama ini berkorban demi memastikan kemenangan beliau.
“Tindakan ini jelas mengkhianati mandat rakyat dan membelakangi anggota parti, demi mencapai kepentingan peribadi beliau,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana masih terdapat segelintir anggota parti yang mendukung Rafizi walaupun lebih setahun beliau lantang mengkritik dan mensabotaj parti termasuk menyerang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami ingin mengingatkan Rafizi bahawa Pandan bukan milik beliau kerana beliau hanya kuat dengan dukungan anggota parti yang telah berjuang dengan penuh pengorbanan, kepayahan dan derita demi memastikan kemenangan beliau,” kata Viknesvaran.
Kenyataan itu turut mengimbas kembali sejarah pencalonan Rafizi di Pandan pada tahun 2012, apabila anggota cabang diarahkan oleh Anwar untuk menerima beliau sebagai calon Parlimen.
PKR Cabang Pandan berkata, dengan keluarnya Rafizi daripada parti, keyakinan rakyat terhadap beliau akan terhakis sepenuhnya menjelang PRU akan datang.
“Dengan keluarnya beliau (Rafizi) daripada PKR, kami yakin rakyat Pandan tidak lagi akan mengundi beliau pada PRU akan datang,” tegas kenyataan itu.
Cabang Pandan menekankan komitmen mereka untuk terus mendukung kepimpinan parti dalam memperkukuh agenda reformasi serta mempertahankan mandat rakyat yang telah diberikan kepada Pakatan Harapan.
“Kami yakin kepimpinan parti mempunyai kebijaksanaan dan keupayaan untuk menangani isu ini secara matang, berlandaskan perlembagaan parti serta semangat perpaduan demi memastikan kestabilan organisasi terus terpelihara,” katanya lagi.
Terdahulu, Rafizi mengumumkan keluar parti, seterusnya akan mengosongkan kerusi Parlimen berkuat kuasa pada Isnin.
Pengumuman itu dibuat oleh beliau ketika majlis pengumuman hala tuju politik yang berlangsung di Petaling Jaya pada Ahad.








