PKR Pecat 28 Anggota Termasuk Pemimpin Menang Pemilihan – Fuziah

PETALING JAYA: Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh memaklumkan parti itu telah memecat 28 ahli termasuk pemimpin yang menang pada pemilihan kerana turut menjadi anggota parti lain.

Memetik laporan media tempatan, Fuziah berkata, selepas pusingan pertama pencalonan pada peringkat cabang, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti pada mulanya membincangkan dan mengesahkan pemecatan 36 ahli yang dikenal pasti terlibat.

“Bagaimanapun, 11 daripada mereka membuat rayuan dan mereka diterima semula jadi anggota selepas kemuka bukti komitmen terhadap PKR termasuk surat sokongan dan rekod kegiatan pada peringkat akar umbi,” katanya.

Ditanya mengenai langkah pemecatan itu, Fuziah berkata, pihaknya memerlukan bukti yang kukuh sebelum tindakan pecat dilakukan oleh parti walaupun ada yang sudah memenangi pemilihan.

“Sebagai contoh kes pemilihan di Jempol, tindakan diambil selepas pemilihan semula dijalankan.

“Kita juga mengambil tindakan apabila mengesahkan parti PKR bukan parti terakhir yang disertai individu berkenaan berdasarkan aduan yang dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata, pengesahan rekod keanggotaan parti turut menjadi kesukaran dalam proses tatatertib berkenaan.

“Sememangnya sukar untuk tindakan diambil terhadap ahli biasa tanpa bukti yang kukuh kerana kita juga tidak boleh mengakses rekod keahlian parti lain.

“Ia tidak hanya bergantung kepada sekeping gambar bersama pemimpin parti lain sahaja,” katanya.

Anda Mungkin Berminat