PKR Perak Letak Kepercayaan Penuh Kepada Presiden

IPOH: Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Perak pada Sabtu menganjurkan Majlis Ramah Mesra Hi-Tea bersama para pengamal media, sebagai usaha memperkukuh hubungan silaturrahim dan kerjasama strategik dalam menyampaikan maklumat tepat serta seimbang kepada rakyat.

Program yang berlangsung di Bandar Meru Raya itu turut menjadi kesempatan untuk memperkenalkan pejabat baharu parti di Wisma PKR Negeri Perak.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri, pembukaan wisma tersebut adalah hasil sumbangan anggota parti melalui kutipan dana termasuk jamuan ‘fund raising’ sebelum ini.

“Wisma ini bukan sekadar sebuah bangunan tetapi lambang semangat perjuangan, pengorbanan dan kesatuan warga PKR di negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan sama, PKR Perak menegaskan sokongan penuh kepada kepimpinan Presiden parti merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkan telah memimpin dengan kebijaksanaan dan ketenangan dalam suasana politik mencabar.

Berhubung isu dalaman, Hairul Amir berkata, parti kekal teguh walaupun terdapat sebilangan anggota yang menyatakan pendirian bersama Datuk Seri Rafizi Ramli.

“Kami menghormati pendirian tersebut dan mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka. Patah tumbuh hilang berganti.

“PKR Perak akan terus istiqamah meneruskan perjuangan ‘REFORMASI’ dengan seluruh kekuatan, keringat dan kudrat yang ada,” katanya.

Menyentuh persiapan menghadapi pilihan raya, beliau berkata, PKR Perak telah mengarahkan seluruh cabang memperkemas jentera pilihan raya pada tahap maksimum.

Hubungan dengan parti komponen Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan di negeri itu juga dikatakan berada pada tahap terbaik.

“Politik sentiasa bersifat dinamik dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Justeru itu, PKR Negeri Perak memberikan kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan dan kepimpinan Presiden (Anwar) dalam menentukan halatuju politik parti serta strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 nanti,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat