PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil langkah memperkukuh jentera parti bagi memastikan gerak kerja di peringkat cabang lebih tersusun, berdisiplin dan berkesan.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata usaha itu penting bagi menyusun semula kekuatan organisasi parti supaya setiap cabang dapat berfungsi dengan lebih sistematik dalam melaksanakan agenda perjuangan.
“Ia usaha menyusun semula kekuatan organisasi parti supaya setiap cabang bergerak dengan lebih tersusun, berdisiplin dan berkesan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, hampir 300 pimpinan dan penggerak parti dari seluruh negara berhimpun secara dalam talian bagi memperkukuh kefahaman mengenai pengurusan organisasi serta memperkemas gerak kerja parti di peringkat cabang.
“Antara fokus diberikan termasuk pengurusan organisasi dan mesyuarat yang teratur, kefahaman terhadap perlembagaan serta etika anggota selain pengukuhan struktur parti dan komunikasi politik yang lebih berkesan.
“Selain itu, aspek pengurusan pentadbiran cabang serta kesiapsiagaan jentera menghadapi pilihan raya turut diberi penekanan dalam usaha memastikan organisasi parti kekal mantap dari peringkat akar umbi hingga kepimpinan” katanya lagi.
Fuziah berkata pengukuhan organisasi parti amat penting bagi memastikan perjuangan parti dapat digerakkan secara lebih tersusun serta mampu menjelaskan agenda perjuangan kepada rakyat dengan lebih berkesan.
Baca juga:








