PKR Perlis Sokong Nurul Izzah, Pemilihan Platform Kukuhkan Parti

KANGAR:  Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Perlis menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah Anwar sekiranya beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2025.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, tiga Ketua Cabang dari negeri Perlis, Noor Amin  Ahmad (Kangar), Manivanan Karuppiah (Arau) dan Datuk Wira Zainol Samah (Padang Besar) menyifatkan penyertaan Nurul Izzah sebagai langkah positif ke arah menghidupkan demokrasi dalam parti dan mengukuhkan perpaduan dalaman.

“Penyertaan beliau akan memberikan peluang pilihan kepada anggota parti, menghidupkan demokrasi dan sekaligus boleh mengukuhkan parti,” menurut kenyataan tersebut.

Mereka turut menegaskan bahawa pemilihan merupakan proses biasa dalam sesebuah parti politik dan harus diraikan dengan semangat kekeluargaan tanpa memberi laluan mudah kepada mana-mana calon.

Setakat ini, jawatan Timbalan Presiden dijangka menjadi tumpuan dalam pemilihan kali ini, dengan nama penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Nurul Izzah Anwar disebut-sebut sebagai antara calon berpotensi.

“Kami percaya setiap calon pasti mempunyai asas sumbangan dan kemampuan masing-masing, dan adalah menjadi hak anggota untuk membuat pilihan berdasarkan rekod serta keperluan parti masa kini,” tambah kenyataan itu lagi.

Sokongan terbuka ini dijangka mencorakkan lanskap pertandingan dalam pemilihan kali ini dan menandakan permulaan kepada kempen yang lebih terbuka dan demokratik di peringkat akar umbi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat