PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Permatang Pauh mengecam keras tindakan rejim Israel yang menahan delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) yang terdiri daripada masyarakat sivil serta aktivis keamanan antarabangsa termasuk wakil dari Malaysia.
Menerusi kenyataan media parti itu, tindakan zalim tersebut membuktikan Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa, menafikan hak asasi manusia dan menghalang usaha murni masyarakat dunia yang berhasrat menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
“Penahanan kejam ini adalah bukti jelas bahawa Israel berterusan menindas dan menekan perjuangan rakyat Palestin yang telah sekian lama menderita,” katanya pada Khamis di laman rasmi Facebook PKR Permatang Pauh.
Sehubungan itu, PKR Permatang Pauh serta rakyat Malaysia yang lain kini menuntut pembebasan segera semua sukarelawan yang ditahan, selain mendesak komuniti antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar mengambil tindakan tegas terhadap keangkuhan rejim Israel.
“Seluruh rakyat Malaysia menuntut pembebasan segera semua sukarelawan yang ditahan serta mendesak komuniti antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan tegas terhadap keangkuhan Israel,” ujarnya.
Dalam pada itu, parti itu turut menegaskan perjuangan membela Palestin adalah perjuangan kemanusiaan sejagat dan pihaknya tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman yang berlarutan.
“Demi keadilan, demi kemanusiaan,” ujarnya.
Terdahulu, seramai lapan rakyat Malaysia termasuk artis Zizi Kirana dilaporkan ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel selepas kapal yang mereka sertai dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas di perairan antarabangsa, awal pagi tadi.
Baca juga: