PKR Putrajaya Buat Laporan Polis Terkait Himpunan Turun Anwar

PUTRAJAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Putrajaya hari ini mengambil langkah serius dengan membuat laporan polis berhubung pengumuman penganjuran ‘Himpunan Turun Anwar’ yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai ini.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya oleh Timbalan Ketua Cabang PKR Putrajaya, Sharif Jeev Abdullah bersama Ketua Penerangan Cabang, Mohd Hafiz Osman dan Ketua Biro Tugas Khas Cabang, Mohd Noor Arizam Arep.

Menurut Sharif Jeev, himpunan yang diumumkan oleh Ketua Pemuda PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, didakwa mempunyai motif membangkitkan kebencian terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kenyataan yang dikeluarkan turut mengandungi dakwaan berat yang boleh menjejaskan integriti institusi kerajaan seperti sistem kehakiman, penjawat awam dan Parlimen,” katanya.

Beliau menyifatkan penganjuran perhimpunan tersebut sebagai tindakan menghasut yang mampu mengganggu ketenteraman awam serta merosakkan amalan demokrasi berparlimen.

“Sebarang himpunan yang bersifat provokatif dan berunsur hasutan tidak wajar dibenarkan kerana ia mencabar prinsip keluhuran Perlembagaan dan boleh mengancam keselamatan negara,” katanya lagi.

Susulan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat perhimpunan tersebut mengikut undang-undang yang relevan termasuk Seksyen 124B Kanun Keseksaan atau mana-mana peruntukan berkaitan yang sesuai.

“Rakyat perlu bijak dan tidak terpengaruh dengan sebarang cubaan mewujudkan ketegangan politik.

“Demokrasi harus dipertahankan melalui saluran yang sah dan beradab,” tegas beliau.

Anda Mungkin Berminat