KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang akan dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) segera menyemak semula tuntutan hasil 40 peratus Sabah dalam tempoh 90 hari seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi semalam.
Menurut kenyataan parti itu, langkah segera diperlukan bagi memastikan bayaran sebenar 40 peratus yang menjadi hak Sabah dapat dilaksanakan tanpa lagi tertangguh.
“Kami menyeru agar kedua-dua kerajaan duduk semeja dalam tempoh ditetapkan mahkamah dan memastikan pelaksanaan sebenar bayaran khas 40 peratus ini berjalan mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya pada Jumaat.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam memerintahkan semakan semula kelayakan hasil 40 peratus dikongsi antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah, selepas membenarkan semakan kehakiman difailkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pada 2022.
“Keputusan ini adalah kemenangan penting buat rakyat Sabah selepas 48 tahun tanpa semakan rasmi terhadap hak yang dijamin dalam Perlembagaan,” ujar kenyataan itu.
PKR Sabah turut menegaskan bahawa tuntutan tersebut bukan sekadar isu kewangan, sebaliknya melambangkan keadilan serta penghormatan terhadap semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Pengembalian hasil ini akan memperkukuh keupayaan negeri untuk melabur semula dalam pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat Sabah, selaras aspirasi Malaysia Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.








