PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyatakan kesediaan untuk meneroka ruang kerjasama antara mana-mana parti atau gabungan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan dilaksanakan pada 2025.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud mengalu-alukan cadangan Jawatankuasa Rundingan Kerusi PRN17 yang diutarakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini, dalam usaha mengukuhkan kerjasama baik dan kestabilan politik yang sedia ada.
“PKR Sabah terbuka untuk meneroka ruang kerjasama dalam usaha memperkukuhkan Kerajaan MADANI dalam menghadapi PRN yang dijangka akan dilaksanakan tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah mengadakan perbincangan tidak rasmi untuk meneliti titik-titik pertemuan dan menghormati perbezaan pandangan dalam menentukan halatuju politik Sabah yang memerlukan pendekatan berbeza dengan konteks Semenanjung.
Dalam menghadapi PRN ke-17, PH Sabah sudah membentuk Jawatankuasa Rundingan Kerusi dan telah mengadakan beberapa siri mesyuarat.
“PH Sabah akan menyelesaikan perbincangan serta rundingan dalaman sebelum memulakan rundingan kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan,” kata Mustapha.
Menurut beliau, dalam proses rundingan nanti, PKR ingin menekankan agar pendekatan inklusif dapat dilaksanakan secara adil.
“Perbincangan perlu juga meliputi pembahagian ADUN dilantik, kuota Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah GLC, serta jawatan-jawatan di peringkat DUN, kampung dan komuniti,” ujarnya.
PKR Sabah juga menegaskan bahawa prinsip asas kerjasama itu perlu didasari oleh pengurusan tatakelola yang baik (good governance) dan meletakkan kepentingan serta kebajikan rakyat sebagai keutamaan.