PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penerimaan peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan beliau serta pendirian bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan tanpa campur tangan politik.
Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, tindakan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin meletakkan jawatan menunjukkan sikap bertanggungjawab dan selari dengan prinsip Kerajaan MADANI yang menekankan integriti serta tadbir urus baik.
“Keputusan ini membuktikan tiada sesiapa kebal daripada undang-undang.
“Semua tuduhan mesti disiasat secara profesional dan adil,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mustapha, reformasi institusi tidak akan berjaya sekiranya agensi seperti SPRM tidak diberikan ruang bebas untuk menjalankan tugas tanpa tekanan mana-mana pihak.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan rakyat Sabah agar tidak terpedaya dengan politik fitnah dan manipulasi isu yang semakin rancak menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN Sabah).
“Masa depan Sabah tidak boleh ditentukan melalui permainan politik sempit.
“Rakyat berhak kepada fakta, kejujuran dan dasar yang membawa manfaat,” katanya.
Mustapha berkata, PKR Sabah akan terus memperjuangkan agenda reformasi serta memastikan pentadbiran negeri kekal bersih, stabil dan bertanggungjawab.








