PETALING JAYA: PKR Cabang Shah Alam menafikan dakwaan kononnya 21 Ahli Jawatankuasa (AJK) dan pimpinan wanita cabang itu telah meninggalkan parti secara beramai-ramai.
Ketua Cabang PKR Shah Alam, Najwan Halimi berkata, hasil semakan dan siasatan yang dijalankan mendapati hanya tiga AJK cabang mengesahkan keluar daripada parti secara sukarela.
Menurut beliau, kenyataan yang mendakwa berlaku pengunduran besar-besaran itu dipercayai didalangi seorang ahli parlimen PKR yang kecewa selepas tewas dalam pemilihan parti bagi jawatan peringkat pusat dan cabang tahun lalu.
“Pihak cabang mendapati hanya tiga AJK cabang yang mengesahkan telah keluar parti secara sukarela.
“Kami percaya tindakan kelompok ini didalangi oleh salah seorang ahli parlimen PKR yang kecewa susulan kekalahan beliau dalam pemilihan parti bagi merebut jawatan peringkat pusat dan cabang tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Najwan tidak menamakan individu yang dimaksudkan.
Beliau turut menegaskan PKR Shah Alam kekal kukuh dan tidak akan tunduk kepada sebarang gerakan yang disifatkannya sebagai usaha makar daripada “pemimpin gunting dalam lipatan”.
Terdahulu, sekumpulan AJK Cabang PKR Shah Alam bersama pimpinan wanita cabang itu mengumumkan peletakan jawatan dan pengunduran mereka daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Mereka mendakwa keputusan tersebut dibuat selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti dan kepimpinan Najwan sendiri.
Kenyataan itu turut menyertakan senarai 21 nama pimpinan akar umbi yang didakwa meninggalkan parti.
Perkembangan tersebut menjadi insiden kedua melibatkan pengunduran pimpinan akar umbi PKR dalam tempoh seminggu.
Pada 21 Mei lalu, Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pandan turut didakwa terbubar selepas 19 ahli jawatankuasanya meletakkan jawatan.
Tindakan itu berlaku susulan keputusan bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad keluar parti pada 17 Mei lalu sebelum mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Baca juga:







